Sebuah Blog untuk menggasak budaya Rempit
Tuesday, September 12, 2006
 
Sasaran Kata: Impian murni Shahrol Yuzy

Norbakti Alias

Didik anak muda berbakat menjadi pelumba berjaya di peringkat antarabangsa

BEKAS pelumba MotoGP negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini jelas punya misi besar untuk mendidik anak muda berbakat menjadi pelumba berjaya di peringkat antarabangsa.

Dia kini sudah menubuhkan kelabnya sendiri, Yuzy Racing Team, sebagai langkah awal mendidik pelumba muda berusia awal belasan tahun, untuk berjinak-jinak dengan perlumbaan tempatan seperti Kejuaraan Petronas Sprinta Cubprix bagi menimba pengalaman.

Penulis tertarik dengan kenyataannya yang menyatakan ramai pelumba haram di jalan raya atau mat rempit yang berbakat tetapi tidak tahu bagaimana untuk menjadi pelumba di litar.

Malah, Yuzy menafikan soal perbelanjaan besar untuk menjadi pelumba kerana perlu memiliki pakaian serba lengkap kerana menurutnya, harga sekarang jauh lebih rendah daripada ketika dia mula berlumba, selain adanya kelengkapan terpakai yang dijual dengan harga murah.

Sebaliknya, bagi Yuzy, bakat-bakat di jalan raya terus terbiar begitu saja kerana tiada bimbingan atau pihak yang sanggup menunjukkan kepada mereka arah yang perlu dituju agar menjadi pelumba yang berjaya dalam erti kata sebenar, bukannya mat rempit yang terus dilontar cemuhan dan sumpahan oleh penguna jalan raya yang lain.

Biarpun banyak kelab motosikal yang diwujudkan ketika ini, bagi Yuzy ia tetap tidak banyak membantu kerana fungsi kebanyakan daripada kelab itu jelas lebih berbentuk riadah, bukannya untuk mereka yang suka berlumba.

Tidak hairanlah, jika kelab sebegitu lebih berminat menganjurkan konvoi ke sana ke mari, daripada membimbing mat rempit yang sukakan kelajuan.

Penulis setuju dengan pendapat Yuzy yang jelas mahukan Malaysia satu hari nanti menjadi negara yang mampu mengeluarkan barisan pelumba yang disegani seperti Itali dan Sepanyol.

Apa yang kita tahu sekarang, Malaysia sekadar melahirkan mat rempit yang dibenci pengguna jalan raya yang lain kerana disiplin mereka yang bukan sahaja kurang tetapi tindakan ‘maut’ mereka yang mampu menyusahkan orang lain.

Pada ketika ada pihak yang mula mahu mendekati golongan mat rempit ini, eloklah dicari jalan agar bakat yang ada pada mereka diasah sebaik-baiknya kerana pendapatan menerusi perlumbaan dan tajaan yang dinikmati dalam perlumbaan cubprix tempatan juga agak lumayan sehingga mampu mencapai empat angka.

Bagi penulis, itulah yang dicari mat rempit - mereka yang boleh membimbing mereka untuk menjadi pelumba di litar, bukannya menyertai konvoi yang gagal memberi kepuasan kePADAa mereka untuk menguji kemampuan motosikal yang ditunggang.

Mereka berlumba haram untuk mencari duit sampingan, sedangkan untuk menyertai konvoi perlu mengeluarkan belanja sedangkan rata-rata kumpulan ini adalah pelajar, penuntut pusat pengajian tinggi atau penghantar surat yang sememangnya mahukan wang.

Mungkin mereka tidak bernasib sebaik seperti dua pelumba cubprix handalan ketika ini, Ahmad Fazli Sham Ahmad Walat dan adiknya, Ahmad Fazrul Sham yang ‘sikap suka berlumba di jalan raya’ dikesan oleh keluarga mereka yang kemudian sepakat memasukkan mereka dalam perlumbaan cubprix.

Kini, ibu bapa mereka yang pesara guru bukan saja mengikuti kebanyakan sirkit kejuaraan cubprix, malah turut membawa cucu mereka mengikuti klinik perlumbaan anjuran Yuzy.

Bagi sesetengah ibu bapa, tindakan keluarga kedua-dua pelumba itu pasti menerima pandangan sinis tetapi setidak-tidaknya mereka tahu lebih baik Fazli dan Fazrul berlumba di litar daripada sengaja menempah maut memecut motosikal di jalan raya.

Soalnya berapa ramai ibu bapa yang berfikiran seperti itu kerana ramai yang tidak pernah mengambil tahu apa yang dilakukan anak-anak mereka walaupun pulang dengan motosikal yang sudah diubah suai.

Sampai bilakah mat rempit ini mahu membiarkan diri menjadi ‘sampah’ di mata orang ramai sedangkan pentas kemasyhuran boleh digapai mereka di perlumbaan sebenar.
 
Comments: Post a Comment



<< Home


Free shoutbox @ ShoutMix
ARCHIVES
December 2004 / January 2005 / February 2005 / March 2005 / May 2005 / August 2005 / September 2005 / October 2005 / November 2005 / December 2005 / January 2006 / March 2006 / August 2006 / September 2006 / October 2006 / December 2006 /